Rahsia Muda Tun Mahathir

Categorized Under: Personal Dated: 29 November 2009 No Commented

oleh Marhaini Kamaruddin, Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah dan Amirah Amaly Shafaat

Apa hobi Tun pada masa lapang?

Sebenarnya saya tidak banyak masa lapang masa kini kerana kerap menulis. Saya mempunyai banyak rencana untuk blog saya, untuk memoir saya dan ada juga tulisan berkenaan dengan tajuk-tajuk tertentu yang belum lagi saya keluarkan.

Kalau ada masa, saya cuma tonton televisyen sahaja. Hobi sebenar, tak ada lagi.

Tun nampak muda daripada usia sebenar, apa rahsia Tun kelihatan cergas dan bertenaga?

Saya memang aktif daripada dulu pun. Saya percaya kalau kita aktif terutama setelah kita bersara dan tidak ada lagi tugas-tugas tertentu, itu sendiri mempunyai kesan baik kepada kesihatan dan kecergasan kita. Jadi kerana kita cergas, maka kita akan merasa lebih sihat dan kerana kita sihat, maka kita lebih cergas.

Jadi, orang yang bersara patut mempunyai hobi atau apa-apa minat tertentu yang akan menghabiskan masa siang dan malam mereka.

Bagaimana Tun memastikan keadaan kesihatan sentiasa stabil?

Saya jaga kesihatan saya. Memanglah kadang-kadang dapat juga penyakit seperti dahulu saya dapat penyakit jantung dan itu telah dirawat dan dibedah. Dan sekarang ini saya sudah pulih daripada sakit itu dan lega daripada kesan pembedahan.

Saya selalu mengambil berat tentang keadaan kesihatan saya iaitu kalau ada apa-apa yang saya rasa kurang baik, maka saya bertanya kepada doktor saya dan saya biasanya mengikuti arahan-arahannya dan ubat-ubat yang perlu saya makan.

Selain itu, saya bersenam, saya berjalan dan saya juga guna treadmill kalau tak dapat berjalan kerana hujan atau lain-lain perkara.

Apa makanan kegemaran Tun? Adakah Tun menitikberatkan aspek pemakanan?

Makanan saya makanan biasa iaitu nasi dengan kari. Walaupun kadang-kadang saya pilih masakan barat atau Jepun tetapi kegemaran saya, saya fikir semua orang tahu, daripada lauk-lauk yang saya makan yang paling saya suka adalah daging bakar cicah air asam dan sayur keladi. Ini adalah kegemaran saya.

Tetapi saya tak makan terlalu banyak. Selalunya sederhana. Saya makan hampir semua, tak ada yang saya pantang sebenarnya. Dan setiap kali saya timbang berat untuk menentukan saya tidak terlalu berat.

Apakah aktiviti senaman kegemaran Tun?

Saya buat sikit-sikit sahaja iaitu saya angkat dumbel pagi-pagi dan saya buat senaman tarik nafas dan selain itu, saya juga guna treadmill dan berjalan.

Pada usia ini, sudah tentu Tun gemar bercuti dan melancong bersama keluarga? Apakah aktiviti riadah atau destinasi percutian Tun?

Saya jarang bercuti sebenarnya tapi setahun sekali saya ambil cutilah. Dalam 10 hari atau dua minggu. Tapi masa cuti pun kalau ada kerja yang boleh buat, saya buat juga. Dan saya selalu ke luar negara kerana ada urusan di sana, memberi ucapan-ucapan setelah dijemput oleh banyak kumpulan-kumpulan.

Semasa bercuti, seboleh-bolehnya saya ingin supaya keluarga saya ikut bersama. Saya biasanya bercuti di laut Mediterranean. Saya suka naik bot di Laut Mediterranean dan pergi ke bandar-bandar kecil di tepi-tepi laut seperti di Turki dan Greece dan kadang-kadang juga di Perancis.

Apa rahsia kebahagiaan rumah tangga Tun dan Tun Dr. Siti Hasmah yang telah bersama selama 53 tahun?

Dalam soal kebahagiaan rumah tangga, saya berpendapat bahawa apabila kita berkahwin, kita mesti bersikap bertanggungjawab. Kalau ada perpisahan, ia menyakitkan orang lain termasuk anak saya. Dan saya tak nak mereka menjadi tidak senang kerana kelakuan saya.

Sebab itu saya lebih suka walaupun kita memanglah ada masalah, mungkin salah faham antara suami isteri, tapi akhirnya kita atasi dan kita balik berdamai. Dan saya tak minat untuk menyakitkan hati sesiapa termasuk isteri saya dengan mengadakan kegiatan-kegiatan yang kurang baik.

Sejak bila Tun perlu memakai cermin mata?

Saya mula pakai sejak umur 14 tahun lagi. Tapi rabun mata saya tidak kuat. Kalau saya buat ujian mata, saya boleh baca semua.

Saya bernasib baik kerana tiada katarak. Ada sedikit tetapi tidak mengganggu.

Apa pendapat Tun tentang kesedaran masyarakat sekarang tentang penjagaan kesihatan seperti virus H1N1?

Ini bergantung pada diri sendiri. Kita tidak boleh berharap Jabatan Kesihatan selamatkan kita, menolong kita daripada dapat jangkitan.

Penyakit ini berpunca daripada jangkitan. Kalau kita tidak dekat orang yang ada jangkitan, kita tidak dapat kerana asasnya ada jangkitan. Kita perlu elak daripada berjumpa dengan orang ramai.

Kita di sini seolah-olah tidak mengambil berat tentang pemakaian mask (topeng muka) walaupun sudah diarahkan. Ramadhan yang lalu, saya pergi pasar Ramadhan, saya pakai topeng tetapi pelanggan-pelanggan dan penjual-penjual tidak memakainya.

Kita tidak mengambil berat pasal ini. Misalnya, hidung berair, ini kena berubat dengan cepat.

Apakah nasihat Tun kepada masyarakat dalam menjaga kesihatan seperti penjagaan jantung?

Saya berpendapat masyarakat mesti mengambil tahu tentang kesihatan diri sendiri. Yang itu mereka mesti jaga daripada awal supaya tidak menjadi terlalu gemuk kerana makan keterlaluan dan mereka jaga supaya mereka cergas, jaga tubuh badan mereka terutamanya menjaga gigi dan lain-lain bahagian dalam badan kita.

Seboleh-bolehnya tidak makan barangan yang boleh mendatangkan penyakit kepada kita terutama kolestrol dan lain-lain kita makan secara sedikit, tak terlalu banyak.

Apa yang dilarang, kita cuba elak. Jadi dengan cara kita selalu mengambil berat tentang kedudukan tubuh badan kita, saya fikir ini memberi alamat untuk mengelak lebih awal sesuatu yang tidak dikehendaki terutama berkenaan berat badan.

Dan kita punya profail, kalau kita tengok sesetengah orang perut mereka buncit kerana mereka tak jaga makan. Ini yang menyebabkan kemudiannya mereka tak nampak sihat. Walaupun mungkin mereka kuat dan sihat tetapi dengan profail yang tak begitu menarik, mereka akan tidak nampak sihat. Dan sebenarnya bila nampak tak sihat akhirnya betul-betul akan menjadi tak sihat.

Tips Kewangan

Categorized Under: General Dated: 25 July 2009 No Commented

beberapa perkara yang ‘x berkesempatan’ hendak dibuat dalam perancangan kewangan

1. Tahun pertama bekerja (Tahun menyimpan & mendapat perlindungan)

  • Buat 2 jenis simpanan.
    - Simpanan Kecemasan (sekurang2 nya 3 bulan gaji) cth belanja kerosakan kenderaan, belanja kecil perubatan dll (Simpan dalam bank selain dari bank dimana income bulanan dimasukan) – Recomended : Bebas asalkan dalam setahun amaun 3 bulan gaji semasa perlu ada dalam bank)
    - Simpanan secara tetap (Untuk kegunaan pembelian aset, perkahwinan dll, Simpan dalam ASB @ Tabung Haji, Recomended : 10% dari Income Bulanan)
  • Ambil Insurans – medical card adalah wajib, Insurans Nyawa + TPD (Kecacatan Kekal) + PA (Kemalangan) + Saving (Recomended : 10% dari Income Bulanan)

2. Tahun Kedua (Membeli aset yang boleh mendatangkan pendapatan pasif & Kenderaan)

  • Still maintain Simpanan Secara Tetap (Simpanan Kecemasan x perlu lagi jika jumlah terkumpul cukup untuk menampung 3 bulan gaji) & Insurans selama-lamanya
  • Utamakan membeli aset yang boleh mendatangkan pendapatan pasif (Recomended : Rumah murah untuk disewa + tanah Kelapa Sawit)
  • Beli kenderaan yang mampu dimiliki – (Mampu = loan dalam tempoh 2-3 tahun sahaja) (Recomended : Kenderaan Kecil & Praktikal @ 2nd Hand Car yang elok )

Tahun Ketiga (Perkahwinan)

  • Perkahwinan – Gunakan wang dari simpanan tetap @ pendapatan sampingan, memadai dibuat secara sederhana, belanja selepas perkahwinan perlu diutamakan
  • Pelaburan Keluarga – Saham, Saham Koperasi @ Persatuan, Saham Amanah, Dana Pelaburan, Emas dll

Tahun Keempat (Rumah)

  • Beli kediaman yang sesuai untuk keluarga (Alternative : Akaun 2 KWSP)

Tahun Kelima (Pendapatan Tambahan)

  • Tamat @ Berakhirnya Ansuran Kenderaan
  • Tambah Dana Pelaburan @ Aset yang boleh mendatangkan pendapatan pasif

Lain-Lain

  • Cari Income sampingan jika hendak hidup senang
  • Simpanan tidak semestinya dalam bentuk wang (Kecuali Simpanan Kecemasan)
  • Bagi reward kepada diri sendiri & keluarga – barang peribadi @ bercuti
  • Bebaskan diri dari hutang secepat yang mungkin
  • Only 1 Credit Card
  • Debit Card = Best Method untuk beli barangan
  • Lebih baik ambil Loan untuk ASB daripada x menyimpan langsung
  • Isteri, Anak & Kebahagiaan adalah harta yang x ternilai

Risiko korek telinga

Categorized Under: General Dated: 28 June 2009 No Commented

SEJAK kecil lagi kita telah didedahkan dengan kaedah mencuci telinga yang telah diamalkan secara turun-temurun oleh mereka yang lebih berusia daripada kita.

Baik dengan menggunakan putik kapas oleh mereka yang dikatakan tergolong dalam kategori moden, mahupun penggunaan benda-benda tajam atau secara spesifiknya pin rambut oleh mereka yang agak tradisional.

Kedua-duanya digunakan oleh mereka yang mempunyai niat dan tujuan mencuci telinga yang kononnya kotor dan tersumbat dengan tahi telinga.

Ada yang menjadikannya sebagai satu rutin atas dasar telinga perlu dicuci selalu dan ada juga yang telah menjadikannya suatu amalan yang tidak boleh ditinggalkan setiap kali selepas mandi disebabkan oleh kerana terlalu biasa dengan amalan mengorek telinga.

Bagi mereka yang tidak berapa berkemampuan pula, agak jarang mereka dapat merasai nikmat mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas. Jauh sekali untuk menjadikannya sebagai rutin harian.

Lantas, golongan ini sering dianggap tidak pandai menjaga kebersihan diri kerana membiarkan tahi telinga terkumpul dalam lubang telinga.

Tanggapan salah

Mungkin suatu pendedahan atau maklumat baru yang agak mengejutkan sekiranya anda diberitahu bahawa penggunaan putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan ia boleh menyebabkan masalah gangguan pendengaran.

Itulah hakikat sebenarnya jika anda bertanya kepada pakar telinga di mana-mana klinik atau hospital swasta sekalipun.

Itu bukanlah suatu yang menghairankan kerana kepercayaan yang kurang tepat ini tidak begitu terdedah kepada masyarakat awam.

Hanya mereka yang mengalami masalah tersumbat tahi telinga sahaja yang mengetahuinya kerana tabiat mengorek telinga secara rutin inilah yang menjadi punca yang membawa mereka ke klinik berjumpa doktor.

Lilin telinga

Sesungguhnya manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap dengan mekanisme yang membolehkan kita menjalani hidup yang selesa, walaupun tanpa pengunaan perkakasan tambahan.

Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang menghasilkan lilin telinga (ear wax).

Saluran telinga mempunyai struktur menyerupai rerambut halus di bahagian menghala ke luar, dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.

Lilin telinga, yang ramai antara kita mengenalinya sebagai tahi telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga.

Majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci, dan fahaman ini sebenarnya adalah salah!

Kesan mengorek telinga

Menjadi sesuatu yang lumrah bahawa apa sahaja yang dijenamakan sebagai ‘tahi’ itu perlu dicuci. Di sinilah timbulnya kesilapan yang pertama.

Lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia. Amaun yang dihasilkan amatlah sedikit.

Apa yang menjadikannya banyak ialah tindakan kita yang sering mengganggu proses pencucian lilin telinga ini yang sepatutnya berlaku tanpa diganggu.

Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga sebenarnya telah diprogramkan untuk ‘menyapu keluar’ lilin telinga ini.

Disebabkan itulah bagi mereka yang tidak menggunakan putik kapas, akan terasa seperti debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga.

Itu sebenarnya ialah lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh petugas-petugas yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita.

Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga akan terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam.

Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami apa yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif (conductive hearing loss).

Tidak kurang juga kes-kes di mana hujung kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan menyebabkan ia tertinggal di dalam lubang telinga.

Ia tidak dapat dikeluarkan di rumah oleh pesakit sendiri atau kawan yang ingin membantu. Ini kerana lokasinya yang agak jauh ke dalam, ruangnya yang sempit serta susunan saluran telinga yang tidak lurus sepenuhnya.

Pengeluaran kapas berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik dan putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forseps.

Ada juga di kalangan kita yang menggunakan benda-benda yang lebih berbahaya seperti pin rambut, lidi, hujung pensel dan sebagainya untuk mengorek telinga.

Penggunaan alat-alatan ini lebih mengundang padah kerana ia akan lebih mendedahkan pesakit kepada kecederaan yang serius seperti luka pada saluran telinga dan kerosakan pada gegendang telinga selain daripada ia turut mendedahkan kepada risiko jangkitan kuman pada saluran telinga yang dipanggil otitis eksterna.

Kurang dengar

Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam, ia semakin menghampiri gegendang telinga.

Gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal.

Apabila ada sesuatu yang menyentuh apatah lagi menghimpit dan menekan ke atasnya, maka sistem konduksi bunyi akan terganggu dan terjadilah masalah pendengaran.

Perlu difahami, kehadiran gumpalan lilin telinga yang termampat akibat sentiasa ditolak masuk oleh putik kapas akan menyebabkan gelombang bunyi yang sepatutnya masuk ke dalam telinga akan terhalang.

Lantas, jumlah stimulasi bunyi yang sampai ke gegendang untuk diinterpretasi akan menjadi minimum dan mungkin tidak cukup untuk tahap pendengaran yang jelas.

Rawatan

Pesakit selalunya akan hadir ke klinik dan hospital apabila terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka.

Ada juga di kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di dalam telinga. Setelah menjalani pemeriksaan dan lilin telinga termampat disahkan, doktor akan menggunakan beberapa kaedah untuk mengeluarkannya.

Kaedah konvensional yang digunakan ialah dengan memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari (ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja).

Dengan cara ini, lilin telinga akan menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan ia akan terkeluar dengan arus air tersebut.

Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan kemudiannya barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.

Sesetengah hospital, terutamanya hospital besar yang mempunyai perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan.

Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sedia kala.

Bunyi bising dalam telinga atau tinnitus akan hilang dan rasa selesa kembali dinikmati. Nasihat yang diberikan ialah supaya pesakit tidak lagi menggunakan putik kapas pada masa akan datang.

Kita perlu ingat bahawa badan kita telah diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap.

Sebarang manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang mencukupi agar kita tidak ditimpa mudarat.

Benarlah kata orang-orang tua bahawa menjaga kesihatan dengan cara mencegah adalah lebih baik, lebih selesa, lebih mudah dan jauh lebih murah daripada merawat.

Source : Utusan

Himpunan Nama-Nama Anak Dalam Islam

Categorized Under: General Dated: 21 May 2009 No Commented